Sunday, July 25, 2010

DEDAUN RINDU BERGUGURAN

IBU. Suatu panggilan yang agung. Bertakhta di persada hati. Sering kugantungkan di bibir. Kubawa ke mana kupergi. Bersama sekeping hati yang merindu.



Tepat jam 9.00 pagi, bas yang membawaku bergerak perlahan-lahan meninggalkan perkarangan MRSM menuju ke selatan. Aku bersandar tenang di kerusi empuk sambil melihat matahari yang semakin meninggi di langit biru. Tidak sabar rasanya menunggu senja untuk berbuka puasa bersama keluargaku.

Aku melihat guru pengiring yang duduk di kerusi sebelahku sedang membelai anak kecilnya yang lena dibuai mimpi indah di pangkuannya. Tangannya mengusap-ngusap lembut rambut halus anaknya. Hatiku tersentuh melihat kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya itu. Situasi itu mengingatkan aku kepada ibuku sendiri. Tanpaku sedar, mataku digenangi air hangat. Entah mengapa hatiku menjadi sayu sekali.

Aku hanya dua beradik. Aku yang sulung. Adikku berusia dua tahun. Sempurna diriku berada di bawah kasih sayang ibu bapa yang penyayang dan bertanggungjawab. Aku tidak pernah kekurangan satu apa pun, baik kasih sayang mahu pun harta benda. Dalam peperiksaan UPSR, aku mendapat keputusan cemerlang 5A. Sungguhpun demikian, aku tidak berhasrat untuk ke sekolah asrama. Aku ingin terus berada di rumah bersama ahli keluargaku. Berhampiran dengan rumahku ada sebuah sekolah menengah yang tidak kurang hebatnya dari segi akademik dan juga sukan. Namun aku hairan apabila ibu beria-ia menyuruhku melanjutkan pembelajaran tingkatan satuku ke sekolah berasrama penuh. Alasannya, ibu ingin aku belajar berdikari.

"Kalau di asrama, Yana akan belajar menguruskan diri Yana sendiri. Yana tak perlu mengharapkan orang lain lagi." Ibu berbicara memujukku.

"Agaknya ibu dah tak sayang pada Yana. Setahu Yana, seorang ibu selalunya tak mahu berpisah dengan anak-anaknya. Ini, ibu pula yang suruh Yana pergi." Aku menjawab dengan mempamerkan air muka yang sedih.

"Bukan begitu Yana. Ibu mana yang tak sayangkan anak. Sebab itulah ibu ingin Yana menjadi lebih sempurna daripada sekarang. Apabila Yana pandai berdikari, Yana tak perlu lagi terlalu bergantung hidup dengan sesiapa. Lagipun di sana nanti, Yana akan dapat belajar dengan lebih teratur. Adik Yana yang nakal ni, tidaklah mengacau Yana lagi," sambung ibu sambil tangannya menepuk-nepuk tubuh adikku yang sedang menyusu di badannya. Aku sebak.

"Ibu memang tak mahu Yana berada di rumah ni lagi, kan? Ibu hanya sayangkan adik saja. Sejak adik lahir, ibu selalu lebih-lebihkan adik. Kalau Yana dah tak ada di sini nanti, tentulah ibu dapat curahkan sepenuh kasih sayang ibu untuk adik seorang," jawabku sambil menangis.

"Yana, kenapa cakap begitu dengan ibu? Sejak bila Yana pandai bersikap begini?" Ayah yang sejak tadi berdiam diri, tiba-tiba meninggikan suara.

Aku bangun, lantas berlari ke bilikku. Aku menyembamkan muka ke bantal. Mengapa ayah dan ibu tidak mahu memahamiku? Mengapa aku sahaja yang perlu mengikut kehendak mereka? Aku juga ada pendapatku sendiri. Aku sayangkan ibu. Aku sayangkan ayah. Aku sayangkan adik. Aku tidak sanggup berpisah dengan mereka. Tidak semestinya belajar di sekolah berasrama penuh sahaja aku boleh berjaya. Di sini pun aku boleh belajar dengan baik. Kenapa mereka mesti memaksaku? Aku tak mahu! Aku tak mahu! Jejari hangat yang menjamah bahu mengejutkan aku. Apabila aku mendongak, aku melihat wajah ibu tersenyum pahit. Ada airmata bergenang di pelupuk mata ibu. Ibu duduk dibirai katilku. Aku memusingkan badan lalu duduk di sisi ibu. Ibu menghulurkan sampul surat besar kepadaku. Perlahan aku mengeluarkan isinya. Tawaran ke Maktab Rendah Sains MARA Kuala Klawang. Airmataku semakin laju mengalir di pipi.

"Yana, fikirkanlah." Ibu kembali meninggalkan aku sendirian.

Aku mencium tangan ayah dan ibu. Kulihat mata ibu basah. Ayah mengusap-usap bahu ibu. Kelihatah ibu tenang sedikit. Ibu memelukku dengan erat. Dapat kurasakan degupan jantungnya yang kencang. Ibu mencium pipiku dengan penuh kasih sayang. Aku mengambil adik dari dukungan ayah. Kucium pipi adikku berkali-kali.

Airmataku menitis lagi tatkala melihat kereta ayah keluar meninggalkan perkarangan MRSM Kuala Klawang. Inilah kali pertama aku akan mengharungi sebuah kehidupan tanpa mereka. Aku tahu, hati mereka juga sebenarnya berat untuk meninggalkan aku di sini.

Bermulalah kehidupan baruku dalam keadaan yang kurasakan agak sukar. Setiap malam aku menangis merindui keluargaku. Aku terkenang kenakalan adik. Aku teringat gurauan ayah. Aku terliur masakan ibu. Pelajaranku agak terganggu dengan keadaan ini. Walau bagaimanapun aku cuba tabahkan hati mengatasinya. Hari demi hari, aku semakin biasa dengan keadaan ini. Namun tidak dapat aku nafikan rinduku pada mereka meruntun-runtun.

Aku tersentak ketika anak kecil di pangkuan guruku tadi menangis. Jauh benar lamunanku.

Aku memandang papan tanda di persimpangan lebuh raya. Sudah tidak jauh, bisik hatiku. Aku membayangkan betapa gembiranya ibu dan ayah menyambut kepulanganku. Aku gembira dapat pulang menaiki bas yang disediakan oleh pihak MRSM ini bersama kawan-kawan yang lain. Aku tidak perlu menelefon ayah untuk menjemputku pulang. Aku tidak perlu lagi semanja itu. Selama ini ayah yang menghantarku dengan kereta untuk ke mana-mana. Pasti mereka bahagia melihat perkembanganku. Sudah lima bulan aku tidak bertemu mereka. Adik tentu melonjak-lonjak meminta didukung. Aku sangat berharap, ibu akan memeluk dan menciumku dengan penuh kasih sayang sama seperti dahulu. Tentu ibu akan menyediakan juadah berbuka puasa yang kugemari. Yang pasti akan berguguranlah dedaun rindu yang merimbun sekian waktu.

Aku memberi salam sebaik sahaja tiba di pintu pagar rumahku. Aku kaget. Mengapa ramai orang di rumahku? Semuanya berketayap putih. Bersongkok hitam. Yang perempuan berbaju kurung putih. Adakah...? Aku tidak berani berteka-teki. Dari celahan orang ramai itu, ayah tampil menghampiriku yang kebingungan. Aku merenung seraut wajah suram di hadapanku itu.

"Marilah masuk, Yana. Pagi tadi ayah ada menelefon ke sekolah Yana. Pihak sekolah kata, bas Yana sudah pun bertolak." Ayah kembali diam.

Melangkah ke ruang tamu, aku melihat sekujur tubuh dilitupi kain batik. Hatiku berdebar-debar. Ayah membawaku menghampirinya. Aku bersimpuh menanti ayah membuka kain penutup wajah.

Ibuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuu....................! Aku terkulai di sisi ayah.

Senja yang redup. Aku tidak sampai hati meninggalkan pusara ibu. Aku tidak mampu menahan airmata daripada terus mengalir. Apa lagi yang ada ketika ini kalau bukan airmata? Menitis lebat di pipi. Pilu terasa di hati.

"Menangislah Yana. Menangislah semahumu." Ayah tidak upaya lagi memujukku supaya berhenti menangis.

Aku tidak tahu kalau selama ini, ibuku menderita penyakit barah otak. Tujuannya menghantarku ke asrama supaya aku bersiap sedia menerima pemergiannya. Supaya aku dapat belajar hidup dengan tidak terlalu bergantung kepadanya lagi. Oh, ibu!

"Kakak, kenapa ibu tidur dalam tanah ni?". Adikku tak berhenti bertanya dengan nada pelatnya. Aku memeluk erat adikku yang masih belum mengerti.

Walau bagaimana berat sekali pun, aku harus menerima kenyataan ini. Akan kuhadapi dengan penuh ketabahan. Aku perlu ingat, bahawa ibu yang kukasihi sepenuh jiwa ragaku ini telah pergi meninggalkan aku buat selama-lamanya. Namun segala kasih sayangnya yang pernah kurasai selama 13 tahun usiaku ini akan kekal bersemadi di setiap pelusuk hatiku.

Esok, aidilfitri tetap akan tiba jua. Tanpa mencium jari-jemari ibu tersayang. Aku berjaya menunaikan hasrat ibu untuk belajar berdikari. Namun aku kehilangan ciuman dan pelukannya, sebagai hadiah yang aku impikan di pagi aidilfitri yang mulia. Hilang bersama helai-helai rinduku yang jatuh berguguran.. seperti pepohon rimbun menggugurkan dedaunnya nan kuning.. satu.. satu.. menyembah bumi.


UNTUKMU IBU

Oh Ibu.. Kau disiram bayu pagi
Kehilangan terasa kini dan kesepian
Dan aku bagai purnama gerhana
Di ibarat lautan kering
Tiada tempat kulayarkan hasratku ini
Masih belum sempat kubuktikannya
Kepadamu Ibu tersayang
Kucurahkan rasa hati
Kutatapi potretmu berulang kali
Kurenungkan kalimah yang diberi

Tuhan Yang Esa
Ampuni dosa ibu
Tempatkan mereka
Di antara kekasih-kekasihMu

Oh Ibu.. kau kasih sejati
Kutaburkan doa untukmu ibu
Ampunilah dosaku
Sejak ku dilahirkan hingga akhir hayatmu

Saat ini kuteruskan hidup
Tanpa bersamamu ibu
Kini aku hilang tempat mengadu

Oh Ibu.. damailah engkau di sana
Kutaburi doa mewangi
Hadiah dari anakmu



SEKIAN



Cerpen ini dihasilkan untuk menyertai:

8 comments:

.sweet-ants. said...

:'(
sy hrp aidilfitri tahun ni masih dpt bersama mak,ayh dan adik2, ipar, dan ank buah sy...

amin ya rabbalalamin...

»Mr Bintang« said...

Rhea... siyes Fizz nanges bace cerpen ni... :(

RHEA said...

zura..
insyaAllah.. semoga kalian dipanjangkan umur dan hidup dalam keberkatanNya.. amein.

RHEA said...

fizz.. menghayati e.. ada masa kita perlu turut merasai kesedihan orang lain untuk lebih mengenali erti kehidupan.. :)

.::wardatulsyauqah::. said...

tahniah..
cerita yg menyentuh emosi..
mg kita lebih menghargai ibu ketika mrk ada lg di dunia...

RHEA said...

terima kasih..

ya betul.. kita hanya ada seorang ibu yang melahirkan dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang..

sebab itu dalam doa pun, kita minta Allah mengasihani ibu bapa kita, sebagaimana mereka mengasihani kita sewaktu kita masih kecil..

hargailah apa yang kita miliki hari ini..

Cik Jari said...

Ibu...sedihnya kisah ni.Banyak pengajaran yg diperoleh.
1-jangan buruk sangka terhadap ibu bapa.
2-hidup ini cuma sementara

:
:
:
banyak lagi~~~

RHEA said...

alhamdulillah.. bijak menilai yang tersurat.. :)